IPOH - Kira-kira 150 petugas barisan hadapan (frontliner) menerima sumbangan barangan basah bagi menghargai mereka yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas sepanjang pandemik Covid-19 ini. 

Sumbangan barangan basah itu ditaja Ariff Frozen Food dengan kerjasama Persatuan India Muslim Perak (PRIM), Parti Perikatan India Muslim Malaysia (IMAN) dan Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim). 
 
Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah berkata, pihaknya sentiasa komited menyalurkan bantuan terutamanya bagi menjaga kebajikan petugas barisan hadapan dalam memutuskan rantaian Covid-19. 
 
"Kita berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi keperluan frontliner," jelasnya.
 
Mohamed Arib menyampaikan sumbangan berkenaan kepada anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini. 
 
 
Dalam perkembangan lain, Mohamed Arib turut memaklumkan pihaknya telah menguruskan bantuan makanan kepada lima keluarga asnaf di Ulu Kinta, Bercham dan dan Tambun. 
 
Katanya, pemberian pek makanan itu adalah sumbangan daripada Tan Sri Ramesh dan Datuk K K Sihabudeen.