IPOH - Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan 3.0 kira-kira 728 orang telah menerima bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta.
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, pemberian bantuan itu adalah daripada peruntukan yang diperolehinya sebagai Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut selain sumbangan daripada individu dan pelbagai sumber lain. 
 
Menurutnya, selain bantuan pek makanan asas, pihaknya turut menyumbang beberapa keperluan lain antaranya termasuklah kelengkapan sekolah, kerusi roda dan menyediakan liputan kemudahan wifi percuma kepada penduduk di kawasan Hulu Kinta. 
 
"Hari ini saya berkesempatan untuk mengadakan kunjungan dan menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada 30 keluarga Kelab Pesara-Pesara Polis di Hulu Kinta yang dikenal pasti memerlukan bantuan serta menghadapi kesulitan sepanjang musim PKP 3.0 kali ini. 
 
"Lokasi yang dikunjungi pada hari ini adalah di Taman Indah, Taman Perpaduan, Tanjung Damai, Kinding Damai, Bandar Baru Putra, Taman Malar, Batu 8, Taman Tambun Emas, Taman Cahaya, Rancangan Perumahan Awam (RPA) Hulu Kinta dan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta," katanya kepada Peraktastic hari ini. 
 
Hadir sama, Pegawai Kebajikan PGA Hulu Kinta, Saidu Kenchi Mohamad yang mewakili Biro Kebajikan PGA Hulu Kinta.
 
 
Pemberian sumbangan ini adalah di bawah program Ziarah Kasih MBI Prihatin yang dilaksanakan bagi menyantuni mereka yang memerlukan bantuan.
 
Katanya, ramai dalam kalangan pesara yang ditemui mengidap penyakit kritikal seperti kencing manis, sakit jantung dan angin ahmar (strok). 
 
"Pesara-pesara ini tidak mampu untuk bergerak dengan bebas, jadi kami hadir menghulurkan sedikit sumbangan agar dapat membantu mereka terutamanya dalam tempoh PKP 3.0," jelasnya. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata pihaknya sedang giat dengan projek pemasangan wifi di kawasan masjid Kampung Ulu Kuang dan Kampung Che Zainal. 
 
"Saya berharap pemasangan wifi ini dapat membantu penduduk di kawasan berkenaan terutamanya pelajar sekolah untuk menggunakan liputan internet secara percuma bagi memudahkan mereka menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) dengan lebih baik," ujarnya.