IPOH - Kira-kira 1 tan ikan jenis kembung dan cencaru serta sayur-sayuran diberikan secara percuma kepada lebih 500 penduduk di sekitar bandaraya Ipoh bagi membantu mereka yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumbangan itu disalurkan melalui Ariff Frozen Food dengan kerjasama Persatuan India Muslim Perak (PRIM), Parti Perikatan India Muslim (IMAN) dan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim).

Selain itu, mereka turut memberikan ayam dan udang serta sarapan nasi lemak secara percuma kepada orang ramai yang hadir mengambil bekalan barang basah dan sayur-sayuran tersebut.

Pengarah Urusan Ariff Frozen Food, Fauziah Mohamed Arib berkata, sumbangan ini diberikan melalui hasil keuntungan perniagaan mereka yang telah beroperasi sejak lapan tahun lalu. 

"Keuntungan yang kami peroleh kami dipulangkan kembali dengan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutamanya sewaktu pandemik Covid-19 ini. 

"Apa yang kami dapat, dikongsi bersama dan semoga pemberian kecil kami ini dapat menceriakan hari mereka," katanya kepada Peraktastic ketika ditemui pada hari ini. 

Program pemberian barang basah dan sayur-sayuran secara percuma yang diadakan di premis perniagaan mereka di Taman Seri Tasek ini bermula dari jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 10.30 pagi. 

Hadir sama, Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah; Ketua Biro Iklan PRIM M Shahul Hameed Mustafa Rawther dan Ketua Biro Belia dan Sukan PRIM Ramjandin Mohd Ismail. 

Sementara itu, pesara kerajaan, Rostam shariffudin, 67, dari Kampung Tersusun Tawas Tambahan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang memberikan bantuan tersebut.

Dia yang telah berbaris menunggu giliran sejak 8.30 pagi berkata, ramai rakyat terkesan akibat wabak Covid-19 termasuk keluarganya sendiri. 

"Dalam keadaan sekarang, adalah wajar mereka yang berkemampuan untuk tampil membantu memandangkan ramai yang tertekan dengan situasi ekonomi," katanya. 

Pekerja kilang, S Indrani, 63, dari Buntong pula berkata, dia mengalami kekangan kewangan ketika pandemik ini melanda. 

"Walau apa yang terjadi, hidup perlu diteruskan. Kami boleh masak makanan enak melalui pemberian ikan dan sayur-sayuran ini," ujarnya. 

Bagi nelayan darat, Rosli Yusof, 60, dari Tasek, perniagaan menjual ikan darat yang diusahanya terjejas kerana dia tidak dapat berniaga di pasar pagi atau pasar malam. 

"Saya juga terputus bekalan makanan memandangkan tiada pendapatan yang diperolehi akibat tidak boleh berniaga.

"Terima kasih diucapkan kepada Ariff Frozen Food dan pihak lain yang mengambil inisiatif memberikan barangan mentah ini secara percuma dan saya berharap mereka akan terus melakukan kebajikan bagi meringankan beban orang ramai," jelasnya.