IPOH - Jangan berasa segan untuk kibarkan bendera putih jika terdapat mana-mana keluarga atau individu yang memerlukan bantuan segera terutamanya dari segi barangan keperluan asas. 

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, pihaknya sentiasa cakna terhadap rakyat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta yang terkesan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 
 
Menurutnya, hari ini beliau turun padang di beberapa lokasi iaitu, Bandar Baru Putra, Putra Impian, Taman Permai, Kampung Baru Tambun dan Taman Choong Kin, Tanjung Rambutan untuk menghantar bantuan keperluan asas. 
 
 
"Hasil tinjauan semasa menyantuni penerima-penerima ini, saya dapati seorang penerima di Bandar Baru Putra sedang menjalani kuarantin di rumah akibat jangkitan Covid-19.
 
"Sekali lagi saya ingatkan kepada rakyat di luar sana, jangan malu untuk kibarkan bendera putih jika memerlukan pertolongan. 
 
"Kami sentiasa bersiap sedia untuk menyampaikan sumbangan dengan kadar segera kepada mereka yang berbuat demikian (kibar bendera putih)," katanya. 
 
Mazlan berkata, melalui Ziarah Kasih MBI Prihatin, pihaknya akan terus membantu sekadar termampu agar tiada dalam kalangan rakyat yang terputus bekalan makanan di saat pandemik ini.