TANJUNG MALIM - Pandemik Covid-19 yang berlaku untuk tempoh lama mendorong Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan prihatin khas kepada kakitangan yang terkesan.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, langkah itu dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan UPSI terhadap kesulitan yang dihadapi kakitangannya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, pada tahun lalu pihaknya mewujudkan Tabung UPSI Prihatin dan sumbangan yang diterima termasuk daripada pihak luar sangat membantu universiti memberi bantuan.

“Disebabkan kawalan pergerakan membabitkan masa yang panjang, maka pihak pengurusan universiti memutuskan untuk memberi bakul makanan kering dan sumbangan wang tunai.

“Universiti juga menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah pada kakitangan dengan had maksimum RM500,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Selain memberi pinjaman, pengurusan universiti turut bersetuju memberi moratorium selama enam bulan atas semua pinjaman UPSI yang diberikan pada kakitangan seperti pinjaman komputer dan kenderaaan.

Jelas Md Amin lagi, UPSI turut menyediakan bank makanan di beberapa lokasi yang terpilih untuk memberi kemudahan kakitangan mengambilnya.

“Bantuan prihatin khas itu digerakkan oleh Jabatan Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Bendahari, Unit Kebajikan Staf serta Pusat Wakaf, Endownmen, Zakat, Khairat dan Sedekah.

“Dana bantuan pula diperolehi daripada Tabung UPSI Prihatin, Tabung Amanah Zakat UPSI dan Tabung Amanah Sedekah UPSI,” ujarnya.