IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia melaksanakan pengeluaran permit penjaja sementara (PPS) secara pandu lalu mulai hari ini. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, proses pengeluaran permit secara pandu lalu itu diadakan di Persiaran ICC Bandaraya 2, pada setiap Khamis mulai jam 9 pagi hingga 2 petang. 
 
Menurutnya, kaunter pandu lalu itu diadakan dalam tempoh Program Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua. 
 
 
"Pemohon akan dikenakan bayaran sebanyak RM10 bagi setiap permit dan akan mendapat kelulusan serta-merta secara proses pandu lalu.
 
"Seramai 24 pegawai dan anggota Unit Pengurusan Penjaja, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI selaku Urusetia terbabit dalam pengeluaran permit tersebut. 
 
"Anggota penguatkuasa MBI turut sama-sama membantu mengawal lalu lintas dan aliran trafik serta Jabatan  Perbendaharaan MBI bagi urusan pembayaran.
 
"Semoga insiatif ini dapat memudahkan urusan warga Ipoh untuk menjalankan perniagaan dalam tempoh PPN Fasa Kedua ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.