TAPAH - Sorotan kisah tiga beranak yang hanya makan nasi berlaukkan garam, mendapat perhatian pelbagai pihak.

Pengurus Besar Wilayah Utara 2 Pasaraya Econsave, Chua Yong Chiang berkata, kisah sedih keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 itu, membuatkannya terpanggil  untuk  tampil membantu.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan ini pastinya memberi kesan besar kepada keluarga yang telah kehilangan pekerjaan.

"Hari ini, pihak pengurusan Econsave turun padang membantu keluarga Hamidah Nagor Gany, 37, menyumbangkan barangan makanan bernilai RM300.

"Kami berharap sumbangan ini dapat mengurangkan sedikit beban mereka sekeluarga sementara menunggu berakhirnya PKP," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hamidah Nagor yang tinggal di Taman Sri Bidor adalah ibu tunggal yang bekerja di kebun sayur sejak enam tahun lalu telah kehilangan pendapatan apabila kebun itu tidak beroperasi sewaktu PKP.

Sumbangan barangan tajaan Econsave bernilai RM300 itu disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah, Muhamad Sahlan Husnin.

Hadir sama Ahli Majlis, Majlis Daerah Tapah (MDT), Ishsam Shahrudin dan Pengurus Pasaraya Econsave Cawangan Kampar, Tow Ching Herng.

Hamidah Nagor turut merakamkan kegembiraannya di atas bantuan yang diterima.

"Terima kasih kepada semua yang membantu saya. Sumbangan ini pastinya menceriakan keluarga dan dapatlah menampung perbelanjaan seharian sehingga keadaan kembali pulih.

"Tidaklah lagi kami makan nasi berlaukkan garam sekiranya tiada sedekah dari jiran-jiran berdekatan yang juga banyak membantu kami," ujarnya.

Sementara itu, Muhamad Sahlan berharap kerjasama diantara pihak pengurusan Econsave akan dapat diteruskan lagi bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Selain membantu meringankan bebanan ia mampu mengembalikan semangat mereka yang pudar akibat pandemik Covid-19 yang kita tidak tahu bila penghujungnya," katanya.