IPOH -"Saya cuma memperolehi pendapatan RM20 sehari dan perlu berjimat cermat untuk meneruskan kelangsungan hidup demi tiga orang anak," begitulah luahan R Megala, 37,  ketika ditemu bual di rumahnya di Taman Klebang Jaya, di sini, hari ini.

Megala,  seorang suri rumah yang ditinggalkan suami terpaksa akur dengan ketentuan hidupnya. Baginya kehidupan harus diteruskan walaupun berat hatinya menagih simpati masyarakat luar.

“Saya terpaksa mengibarkan bendera putih kerana memikirkan anak-anak saya yang sedang membesar. Ini sahaja jalan terbaik buat masa ini untuk memastikan kebajikan anak-anak saya terbela. Terima kasih di atas sumbangan yang dihulurkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Econsave.

“Setelah suami saya meninggalkan kami sejak enam bulan lalu, saya bekerja sebagai pembantu rumah dengan pendapatan sebanyak RM20 sehari. Saya berkerja dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

“Saya harus membayar sewa rumah yang tertunggak sebanyak RM1,500 dan menjelaskan bayaran bil air dan eletrik lebih RM1,000.

“Anak-anak masih bersekolah dan mereka juga memerlukan perbelanjaan. Buat masa ini, jiran-jiran dan adik beradik membantu saya,”katanya.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerusi program MBI Prihatian dan Econsave Prihatin, hari ini.

Ahli Majlis MBI Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abdul Aziz berkata, melalui program MBI Prihatin ini, ia dapat mendekati seterusnya membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19..

“Program MBI Prihatin ini adalah usaha kemasyarakatan berterusan yang bermatlamat untuk mensejahterakan warga bandaraya Ipoh. 

“Pada masa sama,  kita  turut berkerjasama  dengan beberapa syarikat termasuklah pasaraya Econsave. Sehingga kini sebanyak  10 program berjaya dilaksanakan dan  jumlah sumbangan keseluruhan sejak Januari sehingga kini ialah RM355,650.

“Kami bagi pihak MBI mengucapkan ribuan terima kasih kepada Econsave yang sentiasa bersama-sama kami untuk memastikan tiada masyarakat yang terpinggir,” katanya.

Hadir sama Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy  Rosman.

Menurut Shah Effendy, kerjasama antara MBI dan Econsave diharap akan berterusan dalam usaha membantu warga kota sewaktu tempoh  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saban hari kita melihat dilema kehidupan masyarakat dari pelbagai kaum yang kehilangan pekerjaan kesan dari pandemik Covid-19. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk tampil membantu demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Kepada yang ingin menghulurkan bantuan atau mendapatkan khidmat membersih rumah boleh menghubungi  Megala di alamat No.23, Laluan Kelebang Jaya 28, Taman Klebang Jaya, 31200 Chemor, Perak atau menghubungi 016-903 7640.