IPOH - Seorang warga emas yang tinggal di rumah pusakanya sejak lahir hidup dalam serba kekurangan di Kampung Tai Lee, di sini. 

M Papa, 64, berkata, rumah yang didiaminya itu mengalami pelbagai kerosakan terutamanya di bahagian atap zink. 

Katanya, setiap kali hujan, air akan masuk melalui atap bocor sehingga membasahi rumah.

"Rumah ini didiami saya dan seorang anak lelaki. Bagaimanapun, anak lelaki patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira enam bulan lalu. 

“Sebelum ini, anak lelaki saya meraih pendapatan harian dengan  mengambil upah memasang memasang wayar dan membaiki paip namun akibat kecederaan dialaminya, dia sudah tidak mampu untuk  bekerja.

"Walaupun hidup serba kekurangan, kami bersyukur kerana masih terdapat pihak yang sudi menghulurkan sumbangan terutamanya dari segi bantuan makanan dan minuman," katanya ketika ditemui Peraktastic hari ini. 

Dia kini menampung hidup menggunakan wang pencen penakat suaminya yang telah meninggal dunia sejak 16 tahun lalu sebanyak RM300 sebulan yang diberikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu terutamanya sewaktu pandemik Covid-19 ini. Pemberian ini sedikit sebanyak meringankan beban kami dua beranak," jelasnya. 

Terdahulu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 6 (Buntong), S Jayagopi menyampaikan bantuan beras, telur dan makanan keperluan asas kepada Papa di bawah program MBI Prihatin. 

Jayagopi mengedarkan sumbangan tersebut kepada 50 buah rumah di sekitar kawasan Buntong bersama Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 6 Jalan Tun Razak, M Ramachandran dan Pengerusi MIC Ulu Buntong Bahagian Ipoh Barat, M Muniswaran. 

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, G Ganasan Nambiar, 58, turut mengucapkan terima kasih kepada Jayagopi yang banyak membantunya selama ini. 

Dia yang lumpuh di bahagian bawah badan tidak boleh bekerja selepas terjatuh dari bangunan ketika bekerja sebagai kontraktor kira-kira 14 tahun lalu. 

Katanya, akibat kemalangan itu, dia sukar untuk bergerak dan memerlukan bantuan orang lain untuk memapahnya serta menggunakan kerusi roda. 

Menurutnya, setiap bulan dia memerlukan lebih RM300 untuk kos perubatannya.

"Selain, mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), saya juga memerlukan ubat-ubatan dari klinik swasta untuk rawatan harian," katanya yang tinggal bersama anak dan menantu di Rumah Pangsa Buntong Harmoni, di sini. 

Ganasan berkata, dia juga menerima bantuan orang kelainan upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 setiap bulan (sebelum ini RM300) sejak 10 tahun lalu. 

Sementara itu, Jayagopi berkata, pihaknya akan terus turun padang membantu rakyat yang menghadapi kesulitan terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

"Kami akan memberikan bantuan secara berterusan dan cuba membantu mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap rakyat yang berhadapan dengan masalah sewaktu PKP ini. 

"Diharap bantuan yang disampaikan pada hari ini dapat menggembirakan penerima-penerima terbabit," ujarnya.