IPOH - Rumah usang di pinggir sungai, menjadi tempat perlindungan hujan dan panas seorang warga emas sejak lapan tahun lalu.
 
Yip Foong Yin, 70, yang hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan tinggal sebatang kara di situ selepas rumah peninggalan keluarganya musnah dalam kebakaran. 
 
Menurutnya, setiap hari dia terpaksa mencari sumber air dan duduk dalam keadaan gelap pada waktu malam memandangkan rumah itu tiada bekalan air dan elektrik. 
 
Dia yang pernah bekerja sebagai buruh binaan kini menyara kehidupan harian melalui jualan buah-buahan di kebun peninggalan bapanya. 
 
"Tapi sekarang saya tidak boleh berniaga buah-buahan kerana basikal sudah rosak. 
 
"Saya juga terpaksa menadah air hujan atau mencari sumber air untuk kegunaan harian," katanya kepada Peraktastic hari ini. 
 
Yip Foong turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu dirinya sepanjang dia menetap di rumah usang itu. 
 
Kepayahan Yip Foong mendapat perhatian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud serta pengurusan Pasaraya Econsave Bercham. 
 
Mereka tampil menyampaikan sumbangan barangan makanan bernilai RM300 di bawah program MBI Prihatin dan Econsave Prihatin di rumahnya di pinggir Sungai Pinji dekat Taman Pakatan Jaya, petang tadi. 
 
Rumaizi berkata, MBI akan membeli basikal roda tiga bagi menggantikan basikal yang telah rosak supaya Yip Foong dapat berniaga semula. 
 
"Kita juga akan membantunya mendapatkan permit penjaja sementara (PPS) supaya dia boleh menjalankan perniagaan buah-buahan yang diusahakannya itu," katanya. 
 
Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji), Dr Richard Ng berkata, beliau akan memantau warga emas itu setiap dua minggu bagi memastikan kehidupannya berada dalam keadaan baik. 
 
"Sebagai Ahli Majlis MBI tidak kira di mana-mana, saya akan terus memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan agar mereka tidak terpinggir terutamanya di saat pandemik Covid-19 ini," ujarnya. 
 
Sementara itu, Pengurus Operasi Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chang berkata, pihaknya akan menghantar 10 karton air mineral supaya warga emas terbabit dapat menikmati air bersih. 
 
Chua juga berkata, Econsave akan memberikan dapur gas bagi memudahkan Yip Foong memasak tanpa menggunakan kayu Api seperti yang dilakukan warga emas itu setiap hari. 
 
Hadir sama, Pengurus Econsave Cawangan Bercham, G V Rakhesh.