IPOH - Nasib seorang mekanik yang terlantar akibat kemalangan jalan raya pada Februari lalu mendapat perhatian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pasaraya Econsave. 
 
S Thivagaran, 21, kini dijaga oleh ibu, K Manorymani, 55, dan kakaknya, S Nanthinee, 32, kerana dia hanya mampu terlantar selepas kemalangan tersebut. 
 
Nanthinee berkata, mereka hilang punca rezeki selepas adik bongsunya itu terlibat dalam kemalangan. 
 
"Sebelum ini, adik saya menanggung perbelanjaan kami sekeluarga. Saya yang pernah bekerja sebagai pembantu restoran terpaksa berhenti kerja sejak pandemik Covid-19 melanda," katanya kepada Peraktastic di kediaman mereka di Taman Desa Kencana,  Bercham, hari ini. 
 
Katanya, mereka juga perlu pindah daripada rumah tersebut kerana tidak mampu membayar sewa akibat tiada pendapatan tetap. 
 
"Sekarang saya mengambil upah membuat sarung tangan di rumah dan menerima upah RM40 sehari. 
 
"Kami memang memerlukan bantuan dari segi kewangan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang untuk kegunaan adik setiap hari. 
 
"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ada membantu dengan menyediakan katil, kerusi roda dan beberapa barangan lain untuk adik," jelasnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang menyampaikan bantuan pada hari ini.
 
 
Berikutan itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud bersama Pengurus Operasi Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chang melawat keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan barangan makanan dan lampin pakai buang di bawah program MBI Prihatin dan Econsave Prihatin. 
 
Hadir sama, Ahli Majlis MBI Zon 11 (Bercham) Ho Wai Mun; Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji), Dr Richard Ng dan Pengurus Econsave Cawangan Bercham, G V Rakhesh. 
 
Sementara itu, Rumaizi berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk membantu keluarga berkenaan.
 
“Difahamkan antara masalah yang dihadapi adalah kos sewa rumah dan makanan. 
 
"Kita akan bantu termasuk mungkin akan carikan rumah MBI untuk meringankan beban keluarga ini,” katanya.