IPOH - Tiga rumah kebajikan yang terletak di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bercham menerima sumbangan sayur-sayuran segar, semalam. 
 
Rumah kebajikan berkenaan ialah Pertubuhan Amal Ai Xin Fan Tong Ipoh, Pusat Jagaan 1 Malaysia Perak dan Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Kampung Simee.
 
Antara sayur-sayuran yang diedarkan adalah kubis, sawi dan kucai. 
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11 (Bercham), Ho Wai Mun berkata, pihaknya menerima sumbangan sayur-sayuran segar itu daripada seorang individu yang berbesar hati untuk membantu pertubuhan kebajikan masyarakat berkenaan terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 
 
"Pada hari ini (semalam), saya bersama rakan, Ricky Soong telah mengagihkan sayur-sayuran segar yang ditaja oleh seorang dermawan kepada tiga buah pertubuhan kebajikan masyarakat. 
 
 
"Walaupun penat, saya cukup gembira kerana dapat menghulurkan bantuan kepada orang yang di dalam kesusahan bagi meringankan beban mereka," katanya. 
 
Pada hari sama, Ho turut mengiringi Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud, melawat sebuah keluarga di Bercham yang mengalami kesusahan selepas tonggak keluarga itu terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira lima bulan lalu. 
 
Katanya, melalui program MBI Prihatin pihaknya akan terus menjejak dan menyampaikan bantuan dalam pelbagai bentuk supaya tiada warga Ipoh yang terpinggir di saat pandemik Covid-19 ini.