IPOH - Sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) yang hanya bergantung hidup menjual barangan kitar semula terjejas pendapatan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara ini sejak tahun lalu. 

Abdul Jabar Abdul Latiff dan isterinya, Halimaton Hasan, masing-masing berusia 62 tahun memperolehi pendapatan harian antara RM10 ke RM20 sehari hasil jualan barangan tersebut. 
 
Bagaimanapun, longgokan barang-barang itu dilihat semakin banyak di kawasan rumah mereka di Kampung Melayu Batu 8, di sini. 
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, pihaknya telah menjejak pasangan OKU bisu ini dan tampil untuk menghulurkan bantuan pek barangan keperluan asas.
 
 
 
Katanya, barangan itu tidak dapat dijual disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan kebanyakan sektor kegiatan ekonomi termasuklah penjualan sisa pepejal dan barangan kitar semula. 
 
"Longgokan yang banyak ini juga agak merbahaya kepada masyarakat setempat kerana sering ternampak kelibat ular dan juga tikus liar. 
 
"Sehubungan itu, kami berharap semoga situasi menimpa pasangan ini mendapat perhatian dari pihak kerajaan negeri supaya longgokan barangan ini dapat diambil dan seterusnya dijual sekaligus membantu menambah pendapatan mereka," katanya. 
 
Beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan keperluan asas kepada 25 keluarga lain yang dikenal pasti memerlukan bantuan serta menghadapi kesusahan sepanjang musim PKP 3.0 di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta. 
 
Kawasan tersebut adalah Bandar Baru Putra, Batu 8, Kampung Melayu Hulu Kinta, Taman Malar, Pakatan Jaya dan Kampung Baru Changkat Kinding pada program Ziarah Kasih MBI Prihatin, hari ini.