IPOH - Sepasang suami isteri warga emas yang mempunyai masalah kesihatan menerima suntikan vaksin di rumah mereka di Taman Tasek Mewah, hari ini. 
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11 (Bercham), Ho Wai Mun berkata, maklumat berhubung Yea Soon Bah, 75, dan isterinya, Wang Ah Boon, 65, diperolehi daripada Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 11. 
 
Menurutnya, Ah Boon hanya mampu terlantar di katil kerana mengalami pelbagai komplikasi kesihatan iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, masalah jantung, penyakit buah pinggang dan hati.
 
"Akibat penyakit-penyakit tersebut dia tidak berupaya untuk bergerak atau berdiri, hanya terlantar di katil. 
 
"Manakala suaminya pula menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah prostat," katanya kepada Peraktastic. 
 
 
Hadir sama, Pengerusi JPP Zon 11, Cheng Ming Tat. 
 
Menurutnya, disebabkan pasangan tersebut tidak berupaya untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), pihaknya meminta bantuan Pasukan Outreach Vaksinasi Covid-19 Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak untuk ke rumah mereka bagi menjalani proses pemberian vaksin. 
 
"Saya berasa lega apabila kedua-dua mereka menerima suntikan vaksin tersebut dan ingin mengucapkan terima kasih kepada JKN Perak yang memberi kerjasama baik pada hari ini," ujarnya. 
 
Sebelum ini, pasangan berkenaan telah menerima bantuan kotak makanan melalui program MBI Prihatin.