IPOH - Sembilan sekeluarga ini hanya mampu makan ala kadar sahaja setiap hari selepas ketua keluarga mereka hilang mata pencarian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Mereka sekeluarga menyewa di sebuah rumah kecil dengan satu bilik di Kampung Baru Tambun, di sini sejak tujuh tahun lalu. 
 
Muhamad Fisal Haimi, 41, berkata, hidup mereka sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang apabila dia hilang punca pendapatan selepas perayaan Aidilfitri pada tahun ini. 
 
Dia juga berusaha untuk mencari kerja baru namun masih gagal sehingga kini. 
 
"Sebelum ini, saya bekerja sebagai tukang kimpal dengan gaji harian antara RM60 hingga RM70. 
 
"Selepas kehilangan pekerjaan, kami menghadapi masalah kewangan sehingga menyebabkan sewa rumah, bil air dan elektrik tertunggak untuk beberapa bulan," katanya ketika ditemui Peraktastic di rumahnya hari ini. 
 
Bapa kepada tujuh anak berusia antara tiga hingga 13 tahun itu berkata, dia tetap bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin atas nasib yang menimpa keluarganya. 
 
"Setiap bulan, masjid berdekatan akan memberikan bantuan kotak makanan kepada kami. Selain itu, ramai juga pihak lain termasuk saudara mara yang tampil menghulurkan bantuan.
 
"Ini termasuk Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman yang sudah berkali-kali datang ke rumah kami dengan memberikan pelbagai jenis bantuan," jelasnya. 
 
 
Katanya, rumah juga sering bocor setiap kali hujan kerana atap zink yang rosak dan berlubang, namun disebabkan ketiadaan wang yang cukup, mereka tidak mampu untuk membaik pulih kediaman tersebut. 
 
Isterinya, Nurul Ima Ramli, 35, berkata, lima daripada tujuh anak mereka terpaksa melupakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) memandangkan mereka tidak mempunyai peranti serta capaian internet di rumah. 
 
"Anak-anak kami langsung tidak mengikuti sesi PdPR akibat kekangan tersebut," kata suri rumah itu. 
 
Anak sulung pasangan itu, Danial Ikram Mohd Fisal, 13, yang bercita-cita untuk menjadi kontraktor berharap ada pihak yang sudi tampil memberikan peranti kepada dia dan adik-adiknya supaya mereka dapat belajar. 
 
Sementara itu, Mazlan berkata, pihaknya akan sedaya upaya mencari jalan penyelesaian untuk membantu keluarga ini yang boleh dikategorikan dalam golongan miskin bandar. 
 
"Kita akan berusaha mencari penempatan sesuai, mungkin melalui rumah pangsa seliaan MBI bagi memastikan mereka sekeluarga hidup dalam keadaan yang lebih selesa. 
 
"Selain itu, kita juga akan cuba menyelesaikan berhubung ketiadaan peranti sesuai untuk anak-anak pasangan tersebut yang masih bersekolah, supaya dapat menjalankan sesi PdPR dan tidak tercicir dalam pelajaran," ujarnya. 
 
Terdahulu, Mazlan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 15 buah keluarga di sekitar Bandar Baru Putra, Taman Perpaduan dan Tambun dengan kerjasama Pasaraya Econsave Bercham di bawah program MBI Prihatin.