IPOH - Nasib seorang warga emas yang hidup sebatang kara dalam keadaan daif di rumah yang penuh dengan longgokan barangan lama dan kitar semula mendapat perhatian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pasaraya Econsave Cawangan Bercham. 
 
Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, Lee Fun Hin @ Lee Ah Wah, 85, (Uncle Lee) tinggal bersendirian sejak sekian lama dan bergantung hidup pada bantuan makanan yang diberikan jiran-jiran berhampiran. 
 
"Kita bimbang akan keselamatan Uncle Lee memandangkan tiada siapa yang menjaganya. Selain itu, longgokan barang-barang di sekitar rumah ini bukan sahaja mengancam keselamatan dirinya malah membahayakan jiran sekeliling. 
 
"Ia turut mengundang kepada ancaman haiwan seperti ular dan kebakaran juga boleh berlaku disebabkan longgokan barangan tersebut," jelasnya. 
 
Mazlan juga memberitahu, Uncle Lee mempunyai masalah emosi yang serius dan sering bertindak mengikut kehendak hatinya. 
 
"Sehubungan itu, kita akan cuba membantu dengan mengajukan masalah Uncle Lee kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut atau mencari penempatan sesuai seperti di rumah penjagaan warga emas," jelasnya. 
 
Beliau memaklumkan sebelum ini Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Bandar Baru Putra telah beberapa kali menghantar bantuan barangan dapur kepada Uncle Lee. 
 
Terdahulu, Mazlan bersama Pengurus Econsave Cawangan Bercham, G V Rakhesh memberikan bantuan makanan keperluan asas kepada Uncle Lee sempena program MBI Prihatin, hari ini.