IPOH - "Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH SWT di atas rezeki ini," ujar Muhamad Fisal Haimi, 41, selepas ditawarkan untuk bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Pasaraya Econsave.
 
Semalam, Peraktastic memaparkan kisah sembilan sekeluarga ini yang terpaksa makan ala kadar selepas Muhamad Fisal hilang mata pencarian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Muhamad Fisal turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Econsave di atas nasib yang menimpa keluarganya itu.
 
"Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Econsave di atas tawaran kerja ini kerana ia amat membantu meringankan beban dan membolehkan kami membayar sewa rumah, bil air dan elektrik yang tertunggak beberapa bulan," jelasnya ketika ditemui di rumah sewa mereka sekeluarga di Kampung Baru Tambun, hari ini. 
 
Pengurus Econsave Cawangan Bercham, G V Rakhesh berkata, pihaknya akan menguruskan mengenai tawaran kerja tersebut dengan segera supaya Muhamad Fisal boleh memulakan tugas dalam tempoh terdekat.
 
Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, pihaknya sudah memohon untuk mendapatkan sebuah komputer riba dan telefon pintar untuk kegunaan lima anak-anak mereka yang masih bersekolah.
 
"Kita masih menunggu maklum balas berhubung perkara itu. Selepas menerima gajet tersebut, anak-anak ini boleh menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan tidak akan ketinggalan dalam pelajaran. Pada masa sama, kita akan usahakan supaya mereka menerima capaian internet untuk tujuan tersebut," ujarnya.
 
Terdahulu, Mazlan dan Rakhesh menyampaikan sumbangan pek makanan keperluan asas kepada keluarga berkenaan dan jiran bersebelahan melalui program Econsave Prihatin dan MBI Prihatin. 
 
Bagi mereka yang ingin membaca kisah yang dipaparkan sebelum ini boleh klik di pautan http://peraktastic.com/p1/index.php/komuniti/889-9-sekeluarga-ikat-perut-selepas-suami-hilang-mata-pencarian.html