IPOH - Enam beradik dari keluarga kurang berkemampuan menerima telefon pintar hasil sumbangan Persatuan Kebajikan Sejati Warga Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), semalam. 

Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji), Dr Richard Ng berkata, pihaknya mengesan kepayahan keluarga terbabit ketika menyampaikan bantuan barangan makanan asas melalui program MBI Prihatin baru-baru ini. 
 
Menurutnya, selepas ini pihaknya akan berusaha mendapatkan capaian internet dan komputer riba untuk kegunaan enam beradik terbabit bagi memudahkan mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). 
 
"Buat sementara waktu, kita berikan satu telefon pintar dan akan mendapatkan capaian internet dalam masa terdekat untuk membolehkan mereka menjalani sesi PdPR.
 
"Sebelum ini, enam beradik itu tidak dapat mengikuti sesi PdPR memandangkan mereka hanya mempunyai satu peranti sahaja dan keutamaan diberikan kepada kakak sulung yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini," katanya kepada Peraktastic di Jalan Pasir Mas, Pasir Puteh di sini. 
 
Hadir sama, Setiausaha Persatuan Kebajikan Sejati Warga Perak, Stanley Nelson dan tim dari Lions Club of Perak Silver State. 
 
Selain telefon pintar, keluarga tersebut turut menerima sumbangan wang tunai dan pek makanan asas. 
 
Richard berkata, semua anak-anak harus mendapat pendidikan yang sempurna demi masa depan mereka. 
 
 
"Saya percaya jika anak-anak ini berjaya dalam pelajaran, mereka boleh mendapat kerja yang baik dan membantu keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan," ujarnya. 
 
Sementara itu, ibu kepada enam beradik terbabit, Elizabeth Andrew, 44, mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin terhadap pendidikan anak-anaknya. 
 
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran hilang punca pendapatan kira-kira dua bulan lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
 
Katanya, tiga anaknya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Puteh manakala tiga yang lain di Sekolah Kebangsaan Raja Ekram. Anak kelimanya yang berusia 11 tahun adalah murid
Pendidikan Khas dan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 
 
"Suami juga sudah tidak bekerja sejak PKP. Sewa rumah, bil air dan elektrik juga tertunggak untuk beberapa bulan. 
 
"Pemberian telefon pintar ini amat membantu anak-anak saya untuk belajar dan mereka tidak lagi ketinggalan dalam pelajaran," katanya yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya pada 14 Julai lalu.