IPOH - Lebih 2,000 lokasi sampah haram di sekitar bandar ini telah dibersihkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mana ia melibatkan kos tambahan serta tenaga kerja dan jentera.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, sepatutnya kos, masa, peralatan, jentera dan tenaga kerja ini diperuntukkan bagi tujuan memperkasakan kualiti perkhidmatan bandar seperti yang saya jelaskan sebentar tadi.
“Saya menyeru kepada anda semua, jadilah warga bandar raya Ipoh yang mencintai kebersihan dan keindahan alam.
“Jalankan tanggungjawab anda bersama-sama kami demi keselesaan dan kesejahteraan,” ujarnya semasa Sesi Townhall Dialog Bajet 2022 yang diadakan secara maya hari ini.
MBI adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama negara yang mengadakan sesi Townhall Dialog Bajet ini.
Bercakap lebih lanjut Datuk Bandar berkata, bagi menghentikan longgakan sampah haram dalam kalangan komuniti setempat, MBI telah menyediakan tapak baru bagi menggantikan lokasi longgokan sampah haram tersebut di lokasi-lokasi yang bersesuaian
Katanya, mulai tahun ini MBI akan menyediakan perkhidmatan sampah pukal/kebun dan papan tanda bagi jadual perkhidmatan ini telah dipasang di kawasan komuniti setempat supaya dipastikan ia dijalankan mengikut ketetapan.
“Perkhidmatan ini akan diberikan sepenuhnya kepada seluruh kawasan bandar raya Ipoh apabila 18 lori baru diterima MBI.
“Saya berharap apabila MBI telah menyediakan perkhidmatan ini masalah longgokkan sampah haram ini dapat diatasi. Jika anda melihat aktiviti longgokan sampah haram ini, sila laporkan kepada kami dengan segera,” ujar Rumaizi.
Bagi membantu golongan B40, pada tahun ini MBI memberikan 10,000 tong sampah secara percuma. Tambahan lagi, dengan kerjasama kontraktor pembersihan Majlis, sebanyak 17,000 tong sampah juga telah dan akan diberikan di kawasan perkhidmatan
Dalam pada itu, MBI mengalu-alukan orang ramai untuk terus menyalurkan cadangan dan idea masing-masing bagi penyediaan input Bajet 2022 dalam salah satu usaha MBI merencanakan Bajet yang berorentasikan masyarakat.