IPOH - Cuma dalam tempoh 30 minit ayam, ikan, sayur-sayuran, telur termasuk beberapa barangan makanan lain selesai diagihkan kepada penduduk di kawasan Gugusan Manjoi, hari ini. 

Pengasas Al-Ghina Enterprise, Mohd Fariq Izwan Md Bahrin berkata, pihaknya mula mengadakan program sedemikian sejak 30 Jun lalu dan ini adalah kali kelapan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di bawah program MBI Prihatin. 
 
Menurutnya, sebelum ini mereka pernah memberi sumbangan sama kepada penduduk di Meru, Tambun dan Klebang tetapi dalam kuantiti yang lebih kecil. 
 
"Orang ramai sudah mula berkumpul seawal jam 9 pagi untuk mengambil nombor giliran dan edaran bermula sejurus selepas itu. 
 
"Agihan ayam, ikan kembung, ikan tilapia, sayur, telur, mi, kuetiau, bihun dan tepung kepada 160 keluarga itu selesai hanya dalam tempoh setengah jam," katanya kepada Peraktastic pada program sumbangan barangan basah di Dataran Pasar Manjoi, di sini, hari ini. 
 
Mohd Fariq Izwan turut mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang telah menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program tersebut. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis MBI Zon 4 (Manjoi) Syed Mohd Nor Hisam Syed Hassan berkata, MBI akan meneruskan kolaborasi dengan mana-mana individu, syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika mereka ingin membantu menyalurkan sumbangan kepada rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19. 
 
"Kita amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan MBI untuk bersama-sama membantu meringankan beban rakyat yang terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
"Pada hari ini juga kita turut mengambil butiran orang ramai dan menyemak sama ada mereka sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin atau belum. Bagi yang masih belum mendaftar, kita akan hubungi mereka untuk membantu dalam proses pendaftaran," jelasnya. 
 
Hadir sama pada program tersebut, Pengerusi Prihatin Rakyat, Hafez Sabri. 
 
Sementara itu, Salasiah Ahmad, 75, dari Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Jelapang Baru mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi menyumbang barangan basah dan sayur-sayuran ini. 
 
Dia yang mempunyai masalah pendengaran serta menghidap penyakit kencing manis ditemani kenalannya, Rahmah Ismail, 34, yang membantu membawanya ke lokasi program dengan menaiki motosikal.