IPOH - Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11 (Bercham), Ho Wai Mun mengedarkan pelitup muka kepada pengunjung dan peniaga di Pasar Bercham semasa membuat pantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, semalam.

Beliau turut dibantu 10 yang lain terdiri daripada Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 11 (Bercham) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kampung Bercham.
 
Hadir sama, Pengerusi JPP Zon 11 (Bercham), Cheng Ming Tat.
 
Wai Mun berkata, selain memberikan pelitup muka secara percuma, beliau turut menasihatkan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan supaya terus mengikuti SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa. 
 
"Kita menasihatkan peniaga dan pengunjung supaya memakai dua pelitup muka dengan betul dengan menggunakan pelitup muka pakai buang di bahagian bawah serta ditambah dengan lapisan pelitup muka fabrik di atasnya. 
 
"Selain itu, kita turut memaklumkan agar mereka memilih jenis pelitup muka yang tepat dan bersesuaian, selain memakainya mengikut tatacara yang betul bagi memastikan pelitup muka yang dipakai benar-benar dapat memberikan perlindungan yang dikehendaki dari bahaya Covid-19," jelasnya.
 
Menurutnya, agihan pelitup muka itu selesai hanya dalam tempoh satu jam. 
 
"Kita akan terus memberi nasihat kepada penduduk-penduduk di kawasan Bercham dari semasa ke semasa agar penularan wabak ini dapat berakhir dengan segera," katanya.