IPOH - Penduduk Taman Kinding Raya berharap sebuah surau baharu dapat dibina bagi menampung keperluan mereka yang ingin menunaikan solat berjemaah di kawasan terbabit. 

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, setakat ini, tiada sebarang surau atau masjid yang didirikan di taman perumahan tersebut. 
 
"Sehubungan itu, kita berharap kerajaan negeri dapat meluluskan peruntukan bagi membina surau baharu untuk keperluan penduduk di sini," katanya kepada Peraktastic, hari ini. 
 
Terdahulu, beliau menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 100 jemaah lain yang diadakan secara terbuka di perkarangan padang Taman Kinding Raya, pagi tadi. 
 
Menurutnya, kebenaran untuk menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah itu telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 
 
Sejurus selesai mendirikan solat sunat Aidiladha, Mazlan menghadiri ibadah korban yang dijalankan di Surau Al-Ikhlas, Tanjung Damai dekat sini. 
 
"Sebanyak enam ekor lembu termasuk seekor lembu di bawah program MBI Prihatin dikorbankan pada hari ini. 
 
"Semoga ibadah korban yang kita tunaikan diterima oleh ALLAH SWT serta mendapat ganjaran pahala yang berganda. 
 
"Selamat melaksanakan ibadah korban buat semua umat Islam khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta," ucapnya.