IPOH- Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud hari ini mengagihkan kira-kira 385 bungkusan daging korban kepada 700 orang kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Beliau berkata proses penyebelihan, melapah dan pemotongan daging itu telah disempurnakan di Surau Al Ehsan, Taman Indah Jaya, Rapat Setia hari ini. Program itu merupakan anjuran bersama MBI dengan Persatuan Kebajikan Islam MBI (Perkip).
“MBI menyumbangkan sebanyak tujuh ekor lembu dan daging korban itu akan diagihkan kepada kakitangan MBI beragama Islam menerusi wakil-wakil jabatan.
“Proses melapah dan memotong daging dilakukan oleh para sukarelawan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ini merupakan satu bentuk perkongsian rezeki bagi meringankan sedikit perbelanjaan seharian kakitangan MBI terutamanya dalam situasi pandemik ini,” katanya sewaktu ditemubual selepas acara penyerahan daging korban di sini hari ini.
Sementara itu, sebanyak 400 kilogram ikan kembung turut diagihkan kepada kakitangan MBI yang bukan beragama Islam.
Rumaizi berkata pemberian sebanyak 300 bungkusan ikan kembung itu bertujuan meraikan kakitangan MBI yang bukan beragama Islam agar mereka dapat bersama-sama berkongsi rezeki sempena Hari Raya Aidiladha ini.
S.Santhanamary, 53, salah seorang petugas MBI berkata pemberian ikan kembung itu serba sedikit dapat menampung perbelanjaan keluarganya.
“Terima kasih kepada Datuk Bandar yang sentiasa bermurah hati memberi sumbangan ikan kepada kami. Sehari dua ini tidak perlulah saya pergi ke pasar tambahan pula, sekarang kita perlu mengawal pergerakan untuk menjamin keselamatan keluarga,” katanya.