IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggalakkan warga kota mempraktikkan konsep pertanian bandar (urban farming) kerana dilihat mampu memberi sumber pendapatan tambahan kepada mereka yang mengusahakannya.
Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji) Dr Richard Ng berkata, pertanian bandar ini akan memberikan pelbagai faedah kepada rakyat di samping melestarikan alam sekitar serta menambah sumber pendapatan terutamanya sewaktu pandemik Covid-19.
Menurutnya, MBI akan cuba membantu komuniti setempat yang berminat untuk mengusahakan tanah terbiar menjadi kebun sayuran atau buah-buahan.
"Kita lihat terdapat tanah-tanah terbiar di sekitar bandar raya ini yang ditumbuhi lalang, rumput dan boleh mengundang bahaya kepada penduduk setempat dengan kewujudan haiwan berbisa seperti ular.
"Justeru, jika terdapat warga kota yang minat untuk mengusahakan kebun komuniti di kawasan tanah terbiar dan padang khususnya, mereka boleh cuba menghantar kertas kerja kepada Jabatan Perancangan Bandar MBI untuk mendapat kebenaran.
"Bagaimanapun, hanya tanaman kontan seperti sayur-sayuran dengan keluasan lebih kurang 10 kaki (3.048 meter) dibenarkan bagi tujuan tersebut," katanya kepada Peraktastic pada hari ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan baja, biji benih pelbagai jenis sayur-sayuran dan peralatan berkebun di bawah program MBI Prihatin kepada 10 individu yang menjalankan aktiviti pertanian bandar di sekitar Jelapang, Tambun dan Pasir Pinji hari ini.
Richard turut menyampaikan pek makanan asas kepada peniaga limau bali yang kebetulan sedang menjaja di Pasir Pinji.
Dalam perkembangan berkaitan, Richard turut mengingatkan kepada sesiapa yang berminat untuk melaksanakan pertanian bandar, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada penduduk setempat serta memastikan tidak berlaku sebarang kacau ganggu di kawasan persekitaran.
"Selain itu, sampah sarap daripada aktiviti berkebun juga perlu dikumpul dan dibuang dengan cara yang betul agar tidak mencemarkan pemandangan sekeliling," jelasnya.
Seorang penerima sumbangan, Chu Yeow Fatt, 60, berkata, dia mula bercucuk tanam sayur-sayuran dan buah-buahan di atas tanah milik rakannya lebih 10 tahun lalu.
Menurutnya, antara hasil tanaman di kebun kecil tersebut termasuklah kacang panjang, daun kemangi (basil), bayam, kacang botol dan bendi.
"Hasil tanaman yang dituai akan dijual di Pasar Jelapang dengan memperolehi pendapatan antara RM10 ke RM20 sehari," katanya yang mengusahakan kebun tersebut bersama rakannya, Choy Peng Woh, 76, di Kampung Baru Jelapang, di sini.
Sementara itu, suri rumah, Margaret Anak Rentap, 42, yang berasal dari Sibu, Sarawak berkata, aktiviti bercucuk tanam ini adalah hobi dia dan suami.
Dia yang tinggal di Desa Tambun Indah sejak 20 tahun lalu berkata, kebanyakan benih di kebun tersebut dibawa dari kampung halamannya dan hasil tanaman ini adalah untuk kegunaan sendiri.
"Bila melakukan aktiviti berkebun, hasilnya boleh dipetik pada bila-bila masa untuk digunakan sebagai bahan dalam masakan.
"Tambahan, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) segala pergerakan agak terbatas dan saya tidak perlu ke kedai semata-mata untuk membeli sayur-sayuran.
“Saya cuma perlu ke hadapan rumah untuk mengambil tanaman yang sedia ada di kebun ini," jelasnya yang menanam terung Sarawak, jambu Vietnam, nanas, betik dan pelbagai jenis tanaman lain di kebun berkenaan.