IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil langkah proaktif bagi menangani wabak denggi dengan menyediakan 150 kit denggi untuk diedarkan kepada penduduk di Taman Klebang Jaya. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud menyampaikan kit tersebut kepada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi), Noraini Saad dalam satu majlis ringkas di Bilik Gerakan MBI, petang tadi. 
 
Hadir sama, Ahli Majlis MBI Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz.
 
Kit denggi itu mengandungi risalah Denggi, risalah  'Jom Sembur Aerosol di Rumah', satu tabung aerosol dan tiga bungkus abate (20 gram setiap satu). 
 
Rumaizi berkata, pemberian kit denggi ini adalah inisiatif untuk penduduk Taman Klebang Jaya agar terus memberi kerjasama dan menjalankan gotong royong sepertimana disarankan dalam Kempen Kesihatan Persekitaran Tahun 2021 – Kempen Membasmi Wabak dan Hot Spot Denggi di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama MBI. 
 
"Kempen yang dijalankan di Taman Klebang Jaya itu bermula sejak April lalu dan dilanjutkan sehingga 31 Julai berikutan pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua," jelasnya. 
 
Beliau berkata, Kempen Denggi - Gotong Royong Kendiri di Taman Klebang Jaya ini mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta mempunyai beberapa objektif tertentu. 
 
"Antara objektif tersebut adalah untuk mempromosikan program kesihatan persekitaran PBT; memperkasakan kecekapan PBT dalam menangani isu-isu kesihatan di kawasan PBT dan mempertingkatkan tahap kebersihan dan persekitaran," ujarnya. 
 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi menjelaskan, program gotong royong kendiri ini hanya membabitkan keluarga setiap penghuni atau penduduk rumah di kawasan berkenaan.
 
"Anggota MBI, KRT dan Combi telah mengedarkan risalah kesedaran denggi dan karung plastik hitam di setiap rumah pada 21 Julai lalu di setiap zon. 
 
"Selain itu, penduduk di taman tersebut turut menjalankan pembersihan kendiri dalam kawasan atau halaman rumah masing-masing.
 
"Pada masa sama, mereka dinasihatkan untuk mengeluarkan bekas plastik, tin kosong atau sebarang objek yang boleh menakung air untuk dimasukkan ke dalam karung plastik hitam yang diberikan dan diikat serta diletakkan di luar rumah pada pagi Sabtu dan Ahad. 
 
"Lori MBI pula akan menjalankan kutipan pada hujung minggu dan penduduk dinasihatkan supaya tidak membuang sampah pukal, perabot, almari atau peti sejuk," katanya. 
 
Pada majlis itu, Rumaizi turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 10 anggota MBI yang bertugas sebagai sukarelawan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan pada 6 hingga 19 Jun lalu di Kampung Jelapang Baru, Kampung Sungai Tapah dan Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2.