IPOH -  Unit Bergerak Vaksinasi Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta meneruskan program 'outreach' bagi pemberian vaksin khusus kepada individu yang tidak berupaya untuk mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). 
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, hari ini pihak Briged Utara PGA dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bergabung tenaga membantu golongan rentan yang sukar bergerak ke PPV untuk mendapatkan imunisasi.
 
"Pelaksanaan program ini adalah inisiatif dari Kem Briged Utara PGA Ulu Kinta serta JKN Perak untuk memastikan pesakit kronik yang terlantar di sekitar kawasan Hulu Kinta mendapat perlindungan vaksinasi bagi mencegah risiko jangkitan Covid-19," ujarnya. 
 
Hadir sama, Pegawai Kebajikan Briged PGA Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad. 
 
Menurutnya, pasangan suami isteri warga emas dari Kampung Cik Zainal, Chemor antara penerima suntikan vaksin dos pertama pada hari ini.
 
"Pasangan suami isteri warga emas terbabit menghidap pelbagai jenis penyakit antaranya lemah jantung dan lelah. 
 
"Malah, suaminya sukar untuk bergerak dan hanya mampu terlantar di katil akibat strok (angin ahmar)," katanya sewaktu mengikuti program 'outreach' tersebut pada hari ini. 
 
Dalam perkembangan sama, Mazlan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut dalam memastikan pemberian vaksin itu berjalan lancar serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.