Ipoh- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tampil sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama mendirikan Gerobok Rezeki bagi meneruskan misi MBI Prihatin.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata Gerobok Rezeki merupakan inisiatif terkini yang diilhamkan oleh Ahli Majlis MBI sebagai pusat agihan bekalan makanan keperluan harian.
“Gerobok Rezeki sama seperti konsep ‘food bank’ yang bertujuan membantu masyarakat sewaktu pandemik Covid-19. Sebelum ini, kita menyampaikan bantuan berupa kotak makanan namun Gerobok Rezeki juga membuka peluang kepada masyarakat untuk menyumbang.
“Saya juga mengalu-alukan cadangan dari rakyat untuk memantapkan lagi usaha membantu golongan terkesan. Sekiranya tahun hadapan kita berada di fasa pemulihan, seharusnya kita memikirkan apakah program-program yang boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gerobok Rezeki di Kampung Cik Zainal, Chemor semalam.
Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 1(Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata pembinaan Gerobok Rezeki di bawah MBI Prihatin menelan kos sebanyak RM3,800.
“Sebagai permulaan Gerobok Rezeki telah diisi dengan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, tepung dan gula pasir. Orang ramai yang memerlukan bantuan dan ingin menyumbang bolehlah menghubungi penyelaras Gerobok Rezeki di talian 019 575 2835 (Mustafa Abu Bakar), 011 215 79051 (Hasli Adam) dan 017 506 2905 (Nazari Alwi)," ujarnya.