IPOH - Hampir 1,700 keluarga di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta telah menerima bantuan dalam pelbagai bentuk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 17 bulan yang lalu.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, antara bantuan yang disampaikan termasuklah barangan makanan, pelitup muka dan sumbangan wang tunai.
Beliau yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Tambun berkata, tidak dinafikan, lanjutan PKP yang dibuat kerajaan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada golongan tertentu hingga menjejaskan pendapatan.
"Mendengar keluh kesah pelbagai lapisan masyarakat terkesan khususnya di Dun Hulu Kinta ini, kita akan segera turun padang menghulurkan bantuan dari rumah ke rumah kepada mereka yang memerlukan.
"Kita akan mendapatkan maklumat golongan yang terkesan ini melalui semua saluran termasuklah Ketua Kampung; Ketua Cawangan Umno; Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Cawangan dan Bahagian; persatuan dan wakil komuniti," ujarnya.
Mazlan turut mengucapkan terima kasih kepada Umno Bahagian Tambun dan MBI yang menjadi 'tulang belakang' dalam merealisasikan aktiviti pemberian sumbangan sepanjang pandemik Covid-19 ini melanda.
"Tidak dilupakan sokongan dan bantuan yang diberikan oleh Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Hanafiah dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud melalui program MBI Prihatin," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan akan meneruskan misi penyampaian bantuan terutamanya melibatkan barangan keperluan asas agar terus lancar dan sampai ke tangan mereka yang memerlukan.
"Kita juga mengalu-alukan apa-apa jenis sumbangan yang sesuai daripada mana-mana pihak untuk disampaikan kepada penduduk yang terjejas khususnya di Dun Hulu Kinta," katanya yang akan terus menghulurkan sumbangan kepada rakyat dari semasa ke semasa tanpa mengira bangsa dan agama supaya tiada yang terpinggir.