LUMUT – Tugas di lautan bukan halangan untuk warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membantu golongan terkesan disebabkan pandemik Covid-19.
Inisiatif Pusat Taktik Maritim (Pustakmar) Pangkalan TLDM Lumut telah menyantuni 90 keluarga menerusi penyerahan barang-barang keperluan harian baru-baru ini.
Menurut kenyataan Pustakmar Pangkalan TLDM Lumut, sumbangan tersebut telah disampaikan kepada wakil-wakil penduduk tiga buah perkampungan iaitu Kampung Serdang, Kampung Teluk Batik dan Kampung Permatang.
“Bantuan ini adalah hasil sumbangan daripada markas-markas, kapal-kapal TLDM dan pasukan dalam Pangkalan TLDM Lumut selain sumbangan pertubuhan kemasyarakatan setempat.
“Sebalik tugas hakiki menjaga kedaulatan negara, TLDM tidak melupakan tanggungjawab untuk menabur bakti kepada komuniti setempat,” ujar kenyataan tersebut.
Penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah Pustakmar, Laksamana Pertama Farizal Myeor.
Program ini dipilih sebagai Program Jiwa Murni Pustakmar sejajar dengan situasi pandemik Covid-19 yang sedang melanda dan menjejaskan pendapatan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.