LUMUT - Misi untuk membantu penduduk di beberapa kawasan pedalaman di daerah ini yang terkesan semasa pandemik diteruskan lagi menerusi pergerakan Skuad Sukarelawan Prihatin Negara untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan.

Semalam, sebanyak 37 buah keluarga penduduk luar bandar telah diziarahi untuk menyampaikan sumbangan kotak bantuan.

Sehari sebelumnya bantuan juga telah disampaikan kepada 19 rumah keluarga dalam Parlimen Lumut yang memohon melalui Talian Kasih 15999.

Penyelaras Skuad Lumut, Norhaslinda Zakaria berkata, Skuad Sukarelawan Prihatin Negara merupakan inisiatif Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu secara terus pada kelompok sasaran demi memastikan tiada rakyat yang terkesan dipinggirkan.

Menurut beliau, mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) yang disasarkan, pihaknya akan cuba menghantar bantuan dalam masa 24 jam selepas menerima aduan penduduk.

“Pergerakan Skuad Sukarelawan Prihatin Negara ini melibatkan lima buah kereta. Dalam perjalanan kepada penerima macam-macam ujian termasuk tidak berjumpa rumah pengadu.

“Kami hampir tidak berjumpa sebuah rumah, malah kenderaan terpaksa berpusing beberapa kali di kawasan sama disebabkan lokasi yang tersorok namun alhamdulillah dapat ditemui dan disampaikan bantuan,” ujarnya ketika dihubungi.

Jelas Norhaslinda yang juga Ketua Srikandi Lumut, program Bakul Prihatin negara merupakan satu tindak balas proaktif yang dicetuskan Perdana Menteri dalam usaha membantu rakyat yang terkesan dengan kemelut Covid-19.

“Kerajaan berharap mereka yang terkesan dapat disantuni segera dan dibantu dengan bekalan bahan makanan kepada setiap isi rumah,” ujarnya.