
IPOH - Hampir 3,000 penduduk melibatkan 935 buah rumah di Laluan Klebang Restu 9 hingga 36, Medan Klebang Restu akan menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 26 Julai hingga 8 Ogos ini.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz berkata, bagaimanapun, segala perincian mengenai prosedur operasi standard (SOP) berhubung pelaksanaan PKPD itu akan dimaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa meninjau persiapan yang dilakukan jawatankuasa penduduk kawasan berkenaan di Dewan Komuniti Taman Klebang Restu, hari ini.
Pada tinjauan tersebut, Azizul Kama turut memberi taklimat ringkas kepada jawatankuasa terbabit sebagai persediaan menghadapi PKPD yang akan dilaksanakan selama dua minggu itu.
"Dari segi agihan bantuan, seorang Ketua Laluan akan dilantik bagi menjaga setiap laluan terlibat dan mereka menyenaraikan penduduk yang terkesan supaya bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera.
"Setakat ini, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud juga telah menyampaikan hasrat untuk menghulurkan sumbangan melalui MBI Prihatin dan Pasar Raya Econsave.
"Justeru, kita amat mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak tidak kira melalui saluran politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu sepanjang PKPD ini dilaksanakan," katanya kepada Peraktastic.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan menggunakan Dewan Komuniti Taman Klebang Restu sebagai klinik dan farmasi untuk penduduk menjalani ujian calitan atau 'swab test' secara bersasar kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Justeru, beliau kita berharap kepada semua penduduk yang terlibat sepanjang PKPD ini supaya bersabar dan sentiasa mematuhi arahan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Dalam perkembangan lain, Azizul Kama turut menyampaikan bantuan susu dan lampin pakai buang kepada sebuah keluarga di Laluan Klebang Restu 13, di sini.
