IPOH - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) bersedia untuk meneruskan program 'outreach' bergantung kepada kelulusan bekalan vaksin yang akan diterima daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 
 
Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, setakat ini KKM memberi kelulusan sehingga Oktober bagi pihaknya membantu Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam program 'outreach' pada setiap hujung minggu. 
 
Menurutnya, pada program kali ini, seramai 304 Orang Asli dari Kampung Chadak mendapat vaksinasi bagi dos pertama dan kedua. 
 
"Hari ini seramai empat anggota kesihatan dari Klinik Briged Utara PGA menjadi sukarelawan untuk membantu kakitangan kesihatan dalam tugas pendaftaran," katanya kepada Peraktastic selepas melawat Program Outreach Vaksinasi Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Chadak, Ulu Kinta di sini, hari ini.  
 
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, terdapat lima kampung yang tersenarai dalam Rancangan Penempatan Semula (RPS) Orang Asli di sekitar kawasan Ulu Kinta. 
 
"Lima kampung tersebut adalah, Kampung Chadak, Kampung Makmur, Kampung Tonggang, Kampung Suluh dan Kampung Sungai Choh dengan penduduk seramai 2,000 orang.
 
"Sehubungan itu, saya berdoa supaya pemberian vaksin kepada penduduk di Kampung Chadak berjalan lancar dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," ujarnya. 
 
Beliau turut menyumbangkan 60 pek sarapan pagi dan makan tengah hari untuk petugas-petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menjayakan program itu pada hari ini. 
 
Hadir sama, Tok Batin Kampung Chadak, Anjang Andak dan Pegawai Kebajikan Briged PGA Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad.