IPOH - Makkal Sakti Bahagian Tambun dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui program MBI Prihatin mengedarkan 200 pek makanan tengah hari kepada penduduk di Taman Klebang Jaya, hari ini. 
 
Ahli Majlis MBI Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz berkata, insiatif pemberian pek makanan ini adalah untuk memastikan tiada rakyat yang terpaksa mengikat perut akibat penularan wabak Covid-19. 
 
Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ada dalam kalangan rakyat yang hilang mata pencarian dan terpaksa berjimat cermat untuk meneruskan kelangsungan hidup. 
 
"Justeru, pemberian pek makanan ini diharap sedikit sebanyak dapat menceriakan penduduk di sini yang sudah lama tidak menikmati juadah yang enak," katanya kepada Peraktastic pada hari ini. 
 
Dalam perkembangan sama, Ketua Makkal Sakti Bahagian Tambun, J Raman berkata, pek makanan yang mengandungi nasi putih, kubis goreng dan kari ayam itu disediakan empat sukarelawan mulai jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi. 
 
"Kita mula mengedarkan pek makanan tersebut dari jam 12.30 tengah hari dan selesai kira-kira 20 minit kemudian," ujarnya.