IPOH - Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) meneruskan lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbangkan komputer riba kepada tambahan lima pelajar menerusi Kelab Rotary Ipoh.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh MBI Inc. hari ini, program CSR itu memfokuskan sektor pendidikan dan dunia pembelajaran era baharu selaras dengan revolusi industri 4.0.  

Sumbangan telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu merangkap Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Dato’ Abd Manaf Hashim dalam satu majlis di Pejabat Pusat Khidmat DUN Pengkalan Baharu baru-baru ini.

Hadir sama, Penolong Gabenor Kelab Rotary Malaysia, Kamarul Dato’ Mohamad Arif; Pengetua SMK Changkat Beruas, Dr. Husaini Abdullah dan wakil MB Inc.

Sepanjang tahun 2020, MB Inc. telah menyumbangkan 100 buah komputer riba terpakai menerusi Kelab Rotary Ipoh kepada golongan sasar B40. Ianya bertujuan memudahkan akses digital terutama sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara atas talian.

"MB Inc. mahu merapatkan jurang pembelajaran golongan yang kurang berkemampuan tanpa mengira latar belakang keluarga.

"Sumbangan ini akan membantu pembelajaran secara maya dan diharapkan para pelajar mampu mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan akan datang.

“CSR ini berteraskan kepada tiga fokus utama iaitu sosial, pendidikan dan alam sekitar yang dirangka selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk pembangunan pendidikan,ekonomi dan sosial di negeri Perak ,’’ tambah kenyataan itu lagi.