IPOH- Penularan Covid-19 bukanlah penghalang untuk Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) untuk terus menghasilkan inisiatif seni kreatif walaupun menerusi pendekatan berbeza.
Pertandingan Video Kreatif B-Roll, menyaksikan seramai 78 penyertaan dari beberapa negeri mencuba nasib di dalam pertandingan yang julung kali diadakan.
Pengurus Besar PORT Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata pertandingan itu merupakan usaha menyemarakkan aktiviti seni dan budaya berkonsepkan norma baharu menerusi platform media sosial bagi memartabatkan karya seni tempatan.
“Penggiat video berpeluang menyerlahkan kemahiran menggunakan teknologi terkini sebagai medium penghasilan video yang berdaya saing, kreatif dan berkualiti.
“Kita juga dapat mengangkat kepentingan seni videografi sebagai perakam kehidupan masyarakat atau untuk menyampaikan sesuatu mesej dan penceritaan dengan lebih berkesan.
“Video ‘B-Roll’ merupakan teknik penghasilan sesebuah penceritaan dan kesinambungan di dalam sesebuah penghasilan video kreatif,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Pertandingan ini telah berlangsung pada 10 Jun hingga 10 Julai 2021. Durasi video tidak melebihi dua minit dan bertema bebas. Keputusan telah diumumkan dalam talian secara langsung di Facebook pada 17 Julai 2021 lalu.
Sesi pengadilan dilakukan oleh juri profesional iaitu Pengarah Filem Komersial, Zaim Rosli dan Jurukamera PRS Production Sdn Bhd, Mohd Arif Azmi.
Juara telah disandang oleh peserta dari Selangor iaitu Naqib Alif Ishak Mohd Khusainy, 27, video bertajuk Making A B-Roll (1.32 minit). Tempat kedua dari Perak, V.Kesavan,28, video bertajuk The Heist (1.20 minit) dan ketiga dari Selangor, Muhammad Alif Ismail, 27, video bertajuk Cards (0.28 minit).
Hadiah wang tunai RM3,000 (tempat pertama), RM2,000 (kedua), RM1,000 (ketiga), RM500 (keempat), RM300 (kelima) dan saguhati RM100 (keenam hingga kesepuluh).
Nur Hanim turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah PORT, Dato’ Nolee Ashilin Dato’Mohammed Radzi yang turut menyalurkan sumbangan khas kepada mereka yang terlibat menjayakan pertandingan ini.