IPOH - 'Frontliner' atau petugas barisan hadapan adalah pasukan penting yang membantu mengekang wabak Covid-19 daripada terus menular dalam kalangan rakyat di negara ini. 
 
Justeru, bagi menghargai sumbangan mereka, McDonald's Tambun melalui Program Komuniti McDonald's dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) telah menyampaikan sumbangan 34 set burger Rio kepada petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, semalam. 
 
Pengurus Pelanggan McDonald's Tambun, Nor Ikhwani Abdul Halim berkata, sumbangan tersebut adalah untuk menghargai usaha frontliner yang menjalankan tugas tanpa mengenal erti penat lelah. 
 
"Kita amat berterima kasih kepada petugas di PPV di sini yang bertungkus lumus memastikan program imunisasi berjalan lancar serta dapat membantu dalam mencapai imuniti kelompok," katanya. 
 
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan tersebut kepada Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis. 
 
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Briged PGA Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad berkata, sumbangan tersebut amat bermakna buat petugas yang menjalankan tugas vaksinasi di PPV Klinik Briged Utara, di sini. 
 
"Kita amat mengalu-alukan mana-mana pihak luar yang ingin menyumbang kepada petugas tidak kira dalam apa jua bentuk sumbangan. 
 
"Sekurang-kurangnya, sumbangan yang diterima ini dapat menceriakan mereka selepas menjalankan tugas dengan penuh dedikasi sepanjang hari," ujarnya. 
 
Kepada orang ramai atau mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh menghubungi Saidu Kenchi di talian 019-513 8089.