IPOH- Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, dipilih sebagai PPV pertama menerima sumbangan makanan menerusi Program MBI Prihatin.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata misi program MBI Prihatin diperluaskan lagi dengan memberi tumpuan kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan.

“Sepertimana sedia maklum, PPV ini mempunyai ramai petugas hadapan yang mengelolakan ribuan masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setiap hari.

“Seperti program sebelum ini penglibatan Econsave bersama MBI telah banyak menyumbang kepada masyarakat miskin bandar.

“Kita sedia maklum petugas barisan hadapan ada waktunya terlalu sibuk jadi dengan ini kita menyumbang makanan segera untuk mereka mengalas perut sekiranya perlu,” katanya selepas menyerahkan sumbangan di perkarangan PPV Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Sumbangan telah disampaikan kepada Pegawai Perubatan Dan Kesihatan Pejabat Daerah Kinta, Dr. Nirwan Oksa merangkap Ketua Penyelaras PPV.

 Hadir sama, Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman. 

Sementara itu, Ahli Majlis MBI, Khoo Boon Chuan berkata pemberian vaksin di PPV ini berjalan lancar setiap hari yang melibatkan 200 petugas dan sukarelawan.

“Hari ini seramai 2,700 terima dos pertama dan 900 orang untuk dos kedua iaitu melalui pandu lalu. Keseluruhan vaksinasi hari ini ialah 3,600,” ujarnya.