IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil inisiatif menyediakan lima unit rumah transit di Blok G, Rumah Pangsa Waller Court bagi membantu golongan miskin mengejut yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, rumah transit yang dijangka sedia diduduki mulai Ogos ini mempunyai satu bilik dan satu bilik air itu lengkap dengan perabot, dapur termasuk barangan makanan.
Beliau berkata selain itu, mereka juga akan dibantu dari segi pemberian modal perniagaan atau pekerjaan agar dapat meneruskan hidup dan mampu menyewa rumah lain.
"Golongan miskin terkejut adalah mereka yang terdiri daripada golongan terkesan akibat kehilangan punca rezeki seperti diberhentikan kerja, penutupan perniagaan serta ibu tunggal yang anaknya juga kehilangan pekerjaan dalam tempoh antara 6 bulan hingga setahun yang lalu.
"Sehubungan itu, MBI berhasrat untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah dikenal pasti bagi menguruskan unit-unit tersebut serta mengenal pasti golongan yang benar-benar layak menduduki rumah tersebut," jelasnya yang memaklumkan inisiatif ini masih dalam tempoh percubaan.
Beliau berkata, mereka yang terpilih akan menginap secara sementara sehingga mampu menyewa rumah lain dan ia tidak membabitkan golongan gelandangan.
