IPOH - Sebanyak RM40 juta peruntukan telah diterima Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sehingga 27 Julai 2021 lalu bagi pelbagai projek infrastruktur di bandar ini.
Daripada jumlah tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerima RM3,140,668, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM8,059,968) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (RM19,936,499).
Peruntukan turut melibatkan Pejabat Kewangan Negeri (RM499,450), Kementerian Belia dan Sukan (RM30,000), Pejabat Daerah dan Tanah (RM300,00) dan MARRIS (RM5,000,000).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, MBI juga telah memperuntukkan RM27 juta pada tahun 2021 untuk projek-projek pembangunan di bandaraya Ipoh.
"Selain itu, kita juga menerima peruntukan menerusi Program Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) bagi membaik pulih dan menyelenggara perumahan kos rendah dan sederhana rendah swasta yang diselaras oleh KPKT.
"Program ini dilaksanakan setiap tahun dan bertujuan untuk membantu pihak pengurusan membaik pulih kawasan perumahan mereka.
"Bagaimana pun, kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh KPKT," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Julai yang diadakan secara dalam talian di sini hari ini.
Bagi permohonan pada tahun 2021, KPKT telah meluluskan permohonan TPPM sebanyak RM1,205,430.00 kepada enam kawasan pemajuan antaranya Rumah Pangsa Taman Tambun, Ipoh
Garden East Apartment (Blok A-D), Panorama Lapangan Perdana (A-C), Rumah Pangsa Menglembu (Pangsapuri Awana) dan Rumah Pangsa National Garden.
Sementara itu, bersesuaian dengan situasi pandemik ketika ini, MBI menggalakkan warga bandar Ipoh menggunakan aplikasi pintar PARK@PERAK bagi pembayaran tempat letak kereta.
Ini kerana urusan untuk pembelian kupon tempat letak kereta MBI oleh ejen yang telah dilantik dan pembaharuan pas bulanan di kaunter Unit Letak Kereta UTC Perak hanya melalui janji temu berjadual.
Aplikasi pembayaran ini boleh dimuat turun di Play Store, App Store dan Huawei Gallery.
"Pengguna PARK@PERAK boleh membuat pembayaran tambah nilai dengan menggunakan FPX, kad kredit Visa dan Mastercard serta melalui eWallet seperti Touch N Go,Boost, GrabPay dan Mcash.
"Melalui PARK@PERAK juga, pengguna boleh membuat semakan dan pembayaran kompaun lalu lintas MBI," ujarnya.