IPOH - Warga kota disarankan mengambil inisiatif untuk menanam lebih banyak pokok supaya matlamat Ipoh untuk menjadi Bandar Rendah Karbon menjelang 2030 tercapai. 

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 14 (Pasir Pinji) Dr Richard Ng berkata, penanaman pokok-pokok baharu dapat membantu menyerap karbon dioksida dari udara. 

Menurutnya, pokok-pokok yang ditanam itu juga membantu menurunkan suhu terutamanya apabila berhadapan dengan cuaca panas.

"Jabatan Landskap MBI antara yang paling giat dalam usaha penanaman pokok-pokok teduhan di sekitar bandar raya ini. 

"Selain menanam pokok-pokok teduhan, mereka turut mencantikkan taman-taman awam dan padang dengan menghasilkan landskap yang indah. 

"Jadi, kita bercadang untuk memajukan landskap di padang di Housing Trust dengan menambah struktur pintu gerbang diperbuat daripada buluh bagi mengindahkan kawasan berkenaan," katanya kepada Peraktastic. 

Katanya, pada Disember tahun lalu, sebanyak enam pokok Mempari ditanam di kawasan padang tersebut hasil sumbangan Jabatan Landskap MBI. 

"Jika usaha penanaman pokok ini diteruskan dari semasa ke semasa ia bukan sahaja dapat menghijaukan alam sekitar malah dapat ditatap oleh generasi masa hadapan," ujarnya ketika melawat kawasan padang Housing Trust di sini. 

Hadir sama, Penolong Pegawai Pertanian MBI, Salmah Mohd Judib dan kakitangan Jabatan Landskap MBI. 

Terdahulu, Richard dan Ketua Balai Polis Pasir Pinji, Sarjan Mejar Ramlee Isa menanam dua pokok Merawan hasil sumbangan Jabatan Landskap MBI pada Program Hijaukan Bumi, Selamatkan Generasi Akan Datang di Dewan Orang Ramai Pasir Pinji, di sini. 

Pada program itu, seramai 30 warga emas turut mendapat  bakul makanan sebagai insentif kerana telah selesai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. 

Sumbangan bakul makanan itu adalah di bawah program MBI Prihatin dengan kerjasama Lions Club of Perak Silver State.