IPOH – Jabatan Taman dan Landskap Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertanggungjawab merancang, mereka bentuk dan melaksanakan kerja naik taraf landskap di bandar raya Ipoh termasuk penyelenggaraan di taman-taman awam.
Pengarah Jabatan Taman dan Landskap MBI, Meor Abdullah Zaidi Meor Razali berkata, selain itu mereka turut menjalankan kerja-kerja pemotongan rumput, penyelenggaraan dan penanaman pokok di sekitar bandar raya ini.
Menurutnya, MBI menerima antara 30 ke 40 aduan berkaitan pokok dan lazimnya akan menyelesaikan antara lapan hingga ke 10 aduan bergantung pada saiz pokok.
“Kita selalu menerima aduan mengenai pokok terutamanya sewaktu hujan lebat dan ribut, namun aduan tersebut berkurangan ketika cuaca kering.
“Dalam pada itu, kita juga menanam pokok-pokok bunga bagi menambah keceriaan di sekitar Ipoh. Bagi melakukan kerja-kerja tersebut, kita mempunyai 20 kakitangan yang terdiri daripada separa professional dan professional malah pada tahun lalu, seramai 150 pekerja lapangan dilantik untuk melakukan kerja pemotongan rumput dengan kekerapan sekali sebulan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada program MBI dan Anda Edisi Keempat yang membincangkan topik Landskap dan Komuniti hari ini. Sesi perbincangan itu dikendalikan Pengarah Pentadbiran Operasi MBI, Musa Dun yang bertindak sebagai moderator.
Panel lain yang turut serta dalam perbincangan tersebut adalah Presiden Lions Club of Perak Silver State, Dr Richard Ng dan Arkitek Landskap dari Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Fong Jeng Jong.
Dalam perkembangan berkaitan, Meor Abdullah Zaidi berkata, MBI juga telah menaik taraf Taman Jepun yang diilhamkan daripada bandar raya Fukuoka, Jepun.
“Seperti sedia maklum, Ipoh dan Fukuoka adalah bandar raya berkembar dan kita banyak mempelajari cara menghasilkan landskap antaranya membina struktur menggunakan bulu.
“Orang ramai boleh melihat keindahan binaan struktur buluh itu di Taman Dr Seenivasagam dan Dataran MBI di sini,” katanya.
Katanya, ILAM turut sama memainkan peranan dalam mengkaji pokok-pokok di bandar raya ini serta cara terbaik untuk menghutankan semula kawasan di Ipoh.
“Selain itu, kita dalam usaha memperkemas kualiti seni tanaman dan membuat perancangan teliti bagi tempat yang diiktiraf sebagai Geopark iaitu Gunung Lang dan Gua Matsoorat.
“Sehubungan itu, MBI mewujudkan aplikasi eze3@MBI sebagai usaha untuk memudahkan orang awam mengambil maklum mengenai pokok teduhan yang berada di sekeliling bandar raya Ipoh,” ujarnya.
Beliau berkata, inventori pokok eze3@mbi adalah satu pangkalan data yang dibangunkan bagi mengenal pasti status semasa pokok-pokok teduhan di Ipoh supaya memudahkan kerja penyelenggaraan dari semasa ke semasa.
“Dalam sistem ini, kita telah melakukan inovasi dengan pokok-pokok itu dapat kita inventorikan dengan hanya menggunakan telefon bimbit yang mempunya talian komunikasi secara tidak langsung memudahkan pekerja di Jabatan Landskap melakukan kerja-kerja mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Meor Abdullah Zaidi berkata, warga Ipoh boleh memuat turun aplikasi tersebut dan membawanya ke pokok berhampiran bagi melihat nama saintifik, nama tempatan, usia, kadar serapan karbon dan kesihatan pokok berkenaan.