IPOH – New Yorker Cafe yang terletak di Manhattan Business Centre, Jalan Pasir Puteh di sini menghidangkan makanan barat dan timur pada harga mampu poket.

Walaupun namanya berbaur bahasa Inggeris, namun jangan cepat salah anggap kerana kafe yang sebahagian daripada premis milik Hotel Manhattan ini memiliki pensijilan halal.

Penolong Pengurus Jualan Manhattan Hotel, Mohd. Azizan Md. Zain atau Jebat memberitahu, kafe berkenaan baru siap diubah suai setelah berpindah ke lokasi baharu.

Katanya, ia terletak dua pintu dari Hotel Manhattan dengan ruang lebih besar dan mampu menampung sehingga 60 pelanggan pada satu-satu masa.

"Kita mempunyai kira-kira 40 jenis menu ala carte. Kafe ini menawarkan menu lengkap daripada sajian utama hingga kepada pemanis mulut serta air minuman.

"Pilihan di sini adalah masakan barat atau western, asian, kek, minuman, pizza, burger dan salad," ujarnya semasa ditemui di kafe itu baru-baru ini.

Walaupun suasana dalam kafe ini nampak mewah dengan dekorasi ala New York, tetapi tanda harga pada menunya berpatutan iaitu serendah RM7.90 hingga RM49.

New Yorker Cafe juga mempunyai sebuah bilik khas yang boleh menempatkan kumpulan antara lapan orang sekiranya ada pelanggan yang inginkan ruang privasi.

Menariknya, tiada caj dikenakan cuma pelanggan hendaklah berbelanja sekurang-kurangnya RM200 pada satu bil.

Menurut Jebat, selain sajian ala carte, kafe itu juga menawarkan promosi set makan tengahari dan set makan malam.

Katanya, set makan tengahari iaitu spaghetti chicken Bolognaise pada harga RM15.90, nasi ayam penyet (RM19.90) dan roasted chicken ribs (RM22.90) bersama minuman iaitu teh ais sejuk atau panas dan satu skop ais krim.

"Set makan malam pula berupa crispy chicken aglio olio cuma RM16.90, roasted chicken leg (RM22.90) dan single cheesy fish and chips (RM25.90).

“Hidangan popular lain adalah grilled chicken chop, grilled rack of lamb, chicken percik burger, crispy chicken carbonara dan New Yorker pizza," katanya.

Lokasi: Pusat Perniagaan Pengkalan Putra (Manhattan Business Centre), Jalan Pasir Puteh 31650 Ipoh, Perak. Telefon: 05-2268818/ 016-9201263, Laman Sesawang: www.manhatttanhotel.com.my