IPOH – Hotel Casuarina@Meru Ipoh membawa citarasa antarabangsa berkonsepkan ‘Seantero Dunia’ untuk hidangan iftar sempena menyambut Ramadan tahun ini.

Bufet Ramadan yang bermula dari 13 April sehingga 12 Mei ini menyediakan pelbagai juadah enak dari Timur Tengah (Arab), Cina, Melayu tradisional dan pelbagai jenis menu dari seluruh pelusuk dunia yang pasti akan memikat selera pelanggan.

Senior Sous Chef, Zulkarnai Elias,42, atau lebih mesra dengan panggilan Chef Joe berkata, pada Ramadan kali ini, pihak hotel menyediakan menu istimewa iaitu Kibas Panggang.

Menurutnya, daging kibas berbeza dengan daging kambing kerana teksturnya yang lembut seperti tenderloin.

“Untuk Kibas Panggang, kita menggunakan resipi dan rempah yang sememangnya digunakan di negara Timur Tengah.

“Selain itu, Rojak Pasembor Pulau Pinang dan Bubur Lambuk Rusuk Kambing juga antara masakan istimewa untuk Ramadan kali ini.

“Terdapat 10 hidangan utama akan disajikan setiap hari ada kelainan dari segi menu makanan untuk kepuasan pelanggan.

"Antara hidangan utama yang perlu dicuba termasuklah, Kari Ayam, Kari Daging, Sambal Udang, Pajeri Nanas, Ikan Masak Masam Manis dan Udang Mentega Bersama Daun Kari.

"Terdapat lebih 45 menu disediakan termasuk hidangan utama, pembuka selera, pencuci mulut dan minuman," katanya yang mempunyai 26 tahun pengalaman dalam bidang kulinari. 

Pelanggan juga boleh menikmati makanan di 12 gerai yang disediakan antaranya sate, kuetiau goreng mee, cucur udang dan sharwarma.

Penggemar gulai kawah juga boleh merasai kelazatan Gulai Kawah Opor Perut Lembu, Gulai Kawah Kambing Pedas dan Gulai Kawah Daging Cincang.

Kuih muih tradisional, hingga ke masakan resipi turun temurun turut disediakan dalam juadah bufet tersebut yang pastinya dapat memuaskan citarasa pelanggan.

Harga yang ditawarkan untuk bufet Ramadan ini adalah RM69 untuk dewasa, RM54 bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas dan RM34 untuk kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun.

Bufet Ramadan ini diadakan di Pusat Konvensyen hotel berkenaan mampu memuatkan 700 orang pada satu-satu masa.

Tempat meletak kenderaan adalah percuma manakala kemudahan surau untuk lelaki dan wanita turut disediakan di tingkat satu hotel ini.

Jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut atau ingin membuat tempahan sila hubungi 05-529 9999/ 016-521 2288.