TAIPING - Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS) menerima 615 pengunjung selepas dibuka semula semalam.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, jumlah itu menunjukkan perkembangan terbaik kepada sektor industri pelancongan di Perak selepas lebih tiga bulan ditutup akibat krisis wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Pembukaan ZTNS mengambil kira kepada pembudayaan norma baharu dengan berlandaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagi melancarkan proses pendaftaran, pengunjung digalakkan memuatnaik aplikasi MySejahtera ke telefon bimbit.

"Pembelian tiket masuk boleh dibuat melalui atas talian menerusi laman sesawang rasmi ZTNS https://zootaiping.gov.my/.

“Pihak ZTNS hanya menerima seramai 1, 205 pengunjung pada setiap hari. Bilangan ini adalah selamat bersesuaian dengan keluasan zoo yang sedia ada.

"Kanak-kanak di bawah 12 tahun sememangnya tidak digalakkan, namun sekiranya dibawa bersama, ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka dalam keadaan selamat dengan memakai pelitup muka, membekalkan cecair pembasmi kuman dan mematuhi jarak sosial”, katanya pada sidang media semalam.

Sehingga kini, Zoo Taiping menempatkan kira-kira 1,500 haiwan dari 130 spesis terdiri daripada mamalia, burung, reptilia dan ikan. 

Bermula 15 Jun hingga 15 Julai 2020, ZTNS menawarkan potongan harga sebanyak 20% kepada pengunjung. 

Menurut Nolee, pembukaan semula pelancongan domestik memberi peluang baik kepada semua pihak bagi menggerakkan semula kegiatan ekonomi yang lumpuh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masyarakat kini telah terbiasa dan berdisplin dalam mematuhi SOP. Sektor perniagaan perlu sentiasa memastikan faktor kebersihan dan keselamatan dapat dikawal dengan baik melalui SOP yang ditetapkan”, jelasnya.