IPOH - Tempat membeli belah popular, Gerbang Malam kembali beroperasi setelah tiga bulan ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, masyarakat tidak perlu berasa bimbang kerana semua Prosedur Operasi Standard (SOP) telah diperketatkan bagi menjamin keselamatan semua pihak.

"Setakat ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hanya membenarkan 60 buah gerai beroperasi bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

"Selain dari pendaftaran dan pemeriksaan saringan kesihatan di pintu masuk, jarak antara gerai-gerai jualan diarahkan sejauh tiga meter.

"Pengunjung turut diarahkan melalui jalan sehala bagi mengelakkan kesesakan dan persentuhan sesama sendiri," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas turun padang bagi memberi sokongan moral kepada peniaga-peniaga Gerbang Malam, malam tadi.

Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nor Nurmalis Musa.

Sementara itu, pengunjung setia gerbang malam, Norshida Harun, 32, dari Simpang Pulai berkata, langkah kerajaan membenarkan semula pembukaan Gerbang Malam sangat dialu-alukan.

"Kita sedia maklum wabak Covid-19 memberi impak yang besar bagi sektor ekonomi. Adalah wajar gerbang malam dibuka semula bagi menjana semula ekonomi peniaga-peniaga yang tergendala.

"Gerbang Malam bukan sahaja menghidupkan suasana malam di bandaraya Ipoh, malah ianya menjadi ikon perlancongan yang terkenal," ujarnya.