IPOH - Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) hari ini melancarkan siri seni video kreatif bagi mengetengahkan hasil kreatif penggiat seni Perak.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan,  Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, siri dokumentasi video itu selain dari memperkenalkan hasil seni sekaligus mampu mempromosikan produk kesenian menerusi atas talian.

“Projek ini telah dimulakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebanyak sepuluh video pelbagai genre seni telah siap sepenuhnya. Kesemua video itu berkualiti tinggi, kreatif dan berupaya menarik minat pelancong mahupun pembeli.

“Difahamkan 25,000 orang telah mengikuti rakaman video pertama yang telah pun dimuat naik ke laman sosial dan YouTube. Kita lihat sejauh mana perkembangannya untuk fasa pertama ini. Sekiranya mendapat sambutan baik, kita a teruskan untuk fasa kedua. 

“Kita berharap projek ini berterusan dengan baik sepertimana objektif asal iaitu membantu pengiat-pengiat seni khususnya mereka yang mempunyai perniagaan secara atas talian”, katanya pada Peraktastic selepas merasmikan Siri Video Seni Kreatif Silver Trails of Arts, Research and Techniques (START).

Hadir sama kartunis terkenal tanahair, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Lat), Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin dan Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nor Nurmalis Musa.

START, adalah projek siri dokumentasi video terbitan PORT dalam bentuk wawancara, demontrasi dan tutorial.

Bagi siri yang pertama START dijayakan dengan kerjasama Tourism Perak, Kraftangan Perak, Digital Perak dan Black House Production.

Antara produk seni yang diketengahkan ialah kraftangan Orang Asli, batik ikat dan celup (tie and dye), seni karikatur, wet plate dan muzik tradisional India.