IPOH - Lebih 1,000 pengunjung hadir ke Taman Tema Air Lost World of Tambun (LWOT) sejurus selepas satu jam dibuka pada jam 10.00 pagi hari ini.

Pembukaan taman tema air Malayan Rainfortress antara tarikan terkini LWOT yang pasti dapat menarik pengunjung dari dalam dan luar negeri Perak. 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, orang ramai tidak perlu ragu-ragu untuk bercuti ke LWOT kerana tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) menepati panduan seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

"Pembukaan kesemua bahagian taman tema air ini, pastinya merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

"Kita telah memeriksa sendiri persediaan yang dilakukan oleh pihak LWOT bagi memastikan tahap keselamatan pengunjung terkawal sepanjang pasca Covid-19.

"Ternyata pihak pengurusan LWOT begitu serius dan telah menambah SOP yang sedia ada", katanya selepas lawatan ke taman tema air Malayan Rainfortress LWOT di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Sementara itu, Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, pihak pengurusan LWOT sangat bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan pengunjung terkawal sepenuhnya.

"Kami akan membuat pemeriksaan tahap kebersihan air sebanyak dua jam sekali untuk memastikan bacaan PH air dalam kawalan. 

"Pada masa sama, kami sentiasa memastikan kandungan klorin sentiasa dalam bacaan yang betul. Campuran klorin bertujuan membasmi sebarang pembiakan kuman-kuman serta selamat digunakan.

"Sebagai langkah keselamatan kami mengehadkan jumlah pengunjung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKKPP) seramai 8,000 orang sehari walaupun secara umumnya LWOT boleh memuatkan 38,000 orang pengunjung sehari," katanya.

LWOT beroperasi dari jam 10.00 pagi hingga jam 11.00 malam. Tiket masuk yang dikenakan ialah RM117 dewasa RM110 kanak-kanak.