IPOH - Pulau Pangkor muncul sebagai destinasi pilihan utama pelancong ke negeri Perak selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan.

Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan,Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerjaaan negeri akan memantau kemasukan pelancong bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berjalan dengan baik terutamanya kesesakan di Jeti Pulau Pangkor.

“Lambakkan pelancong yang datang ke Pulau Pangkor begitu menggalakkan terutamanya di hujung minggu dan penambahan feri telah dilakukan iaitu 18 trip kepada 43 trip. Kita telah berbincang bersama operator feri supaya membuat penjualan tiket feri mengikut tempoh tertentu bagi mengelakkan kesesakkan berlaku. 

“Faktor jeti yang kecil juga menyumbang kepada terjadinya kesesakkan. Bagi mengatasi masalah ini, adalah perlu kerja-kerja menaik taraf dilakukan dan kerajaan negeri akan memastikan ianya dipercepatkan”, katanya ketika ditemubual baru-baru ini. 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihak Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan ke pihak Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kelonggaran mengurangkan tempoh pelancong berada di Pulau Pangkor dari 48 jam kepada 24 jam. 

“Mengikut syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pelancong mestilah berada di Pulau Pangkor sekurang-kurangnya 48 jam untuk mendapatkan pengecualian cukai untuk barangan terpilih di permis jualan bebas cukai. 

“Setakat ini kita masih belum menerima maklum balas dan kita berharap ianya diluluskan bagi memudahkan urusan pelancongan-pelancongan yang datang”, katanya.