IPOH – Kumpulan Sunway (Sunway Group) melaburkan sejumlah RM2 bilion untuk menaik taraf dan membangunkan Sunway City Ipoh bagi tempoh tujuh tahun akan datang.

Pengerusi dan pengasasnya, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata, pembangunan tersebut merangkumi pembinaan hospital, kampus kolej universiti, pusat membeli belah, pembangunan teknologi 5G dan pelbagai lagi bagi menarik orang ramai berkunjung ke bandar raya ini.

Beliau berkata, kerja-kerja pembangunan sudah pun bermula dan diharap segalanya akan berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Jeffrey Cheah berkata, setiap kali cuti perayaan, kira-kira 2 juta pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan melalui jalan ini.

“Justeru, kita bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak bagi projek membesarkan Jalan Tambun ke Sunway City Ipoh tanpa lampu isyarat bagi melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya PLUS untuk singgah ke sini,” katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad di Hotel Kinta Rivrfront.

Tambahnya, pihaknya sedang memfokuskan cara terbaik bagi menarik pengunjung datang ke Ipoh khususnya sekitar Tambun untuk menikmati makanan, hospitaliti dan menjadikannya pusat sehenti yang mampu dikunjungi semua lapisan masyarakat.

“Kita akan menjadikan Sunway City Kuala Lumpur dan Sunway Iskandar Puteri Johor sebagai contoh untuk pembangunan di Sunway City Ipoh,” katanya.