IPOH – Gua Matsoorat yang terletak dalam Geopark Lembah Kinta dijangka akan dibuka untuk pelancongan terkawal yang pertama seumpamanya di Malaysia bertujuan untuk mengekalkan khazanah prasejarah serta memelihara struktur gua tersebut.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, lazimnya segala perkara yang berkaitan dengan prasejarah akan dibawa ke muzium untuk dipamerkan kepada umum.

“Bagaimanapun, sekarang kita tak payah bawa ke muzium, kita bawa (pelancong) ke tempat itu (Gua Matsoorat) di mana fosil dan lukisan purba itu berada,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi bulan Mac 2021 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini.

Beliau berkata, kemasukan ke gua tersebut adalah terhad kepada empat orang sahaja pada satu-satu masa dan mereka perlu mendapat kebenaran MBI serta diiringi oleh pemandu pelancong.

“Kita mengenakan peraturan yang ketat supaya kesan peninggalan lukisan purba oleh manusia prasejarah dan fosil semulajadi yang terdapat di dalam gua dapat dipelihara untuk nilai sejarah dan warisan,” jelasnya.

Projek tersebut yang dilaksanakan Jabatan Mineral dan Geosains dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia itu akan bermula pada 1 April ini.